Mar 03, 2023 - FASSelangor FC membawa pulang tiga mata seterusnya untuk perlawanan kedua Liga Super 2023 setelah menewaskan Kuching City FC 5-0 di Stadium Negeri Sarawak semalam.
Kemenangan 5-0 semalam menjadi jaringan terbanyak untuk Liga Super 2023 setakat ini dengan 60% penguasaan bola, 86% ketepatan hantaran, 17 percubaan dan 8 sepakan penjuru sepanjang perlawanan. Selain itu, Selangor FC juga tidak pernah tewas di Stadium Negeri Sarawak sejak 2012 lagi.
Menurut Tan Cheng Hoe, Ketua Jurulatih Selangor FC, kerjasama baik yang ditunjukkan oleh pasukan dalam perlawanan #KUCSEL membantu Gergasi Merah meraih tiga mata seterusnya.
"Secara keseluruhan pemain menunjukkan taktikal disiplin yang cukup baik. Semasa menyerang, pemain berada di kedudukan yang sepatutnya, menghasilkan jaringan-jaringan gol tersebut. Begitu juga semasa bertahan, kita mampu serap serangan pasukan lawan.
"Dari segi kerjasama antara pasukan, setiap pemain yang beraksi sebagai pemain kesebelasan utama dan juga yang berada di bangku simpanan menunjukkan komitmen yang cukup tinggi dalam perlawanan #KUCSEL," puji Tan Cheng Hoe.
Daripada perlawanan #KUCSEL semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-
- Penampilan ke-50 Kapten pasukan dan pemain import muda Selangor FC
Brendan Gan telah bersama Gergasi Merah sejak 2020. Kapten pasukan ini tidak dapat beraksi separuh musim 2021 kerana mengalami Kanser namun dengan semangat juang yang tinggi, beliau pulih dan kembali beraksi di awal musim 2022. Perlawanan #KUCSEL semalam menjadi penampilan ke-50 beliau sejak beliau kembali beraksi. Brendan juga merekod satu jaringan gol dan satu ‘assist’ semalam.
Selain itu, pemain import muda yang sangat dikenali di kalangan penyokong Merah Kuning, Hein Htet Aung mencapai penampilan ke-50 beliau semalam setelah beraksi secara konsisten bersama skuad utama Selangor FC selepas dinaikkan pangkat daripada Selangor FC 2. Beliau juga telah ‘assist’ jaringan pertama Noor Al-Rawabdeh pada minit ke-4 perlawanan. Ini sekaligus menjadikan bantuan gol yang ke-12 beliau sepanjang bersama skuad Gergasi Merah.
- Jaringan pertama dua pemain baharu Selangor FC
Tiga jaringan awal #KUCSEL telah dijaringkan dua pemain import baru Gergasi Merah musim 2023. Dua gol dijaringkan oleh pemain tengah, Noor Al-Rawabdeh pada minit ke-4 dan ke-48 manakala satu gol dijaringkan Ayron Del Valle pada minit ke-9 perlawanan.
- Rekod baik penyerang muda Gergasi Merah menentang Kuching City FC
Danial Asri telah menjadi antara penjaring gol untuk tiga perlawanan berturut-turut menentang Kuching City FC. Dalam saingan Piala Malaysia 2021, pusingan Kumpulan B, Danial menjaringkan dua gol dalam perlawanan ‘home’ dan satu gol perlawanan ‘away.’ Termasuk jaringannya pada minit ke-73 semalam, empat jaringan gol telah dijaringkan menentang Kuching City FC.
- Faisal Halim terus menambah rekod bantuan gol
Biarpun baru sahaja bersama pasukan musim ini, kelincahan pemain sayap yang cukup dikenali, Faisal Halim, terus membantu rakan sepasukannya menjaringkan gol. Beliau telah merekod tiga bantuan gol dalam dua perlawanan berturut-turut. Beliau pernah berkata, keinginannya untuk menjaringkan gol sudah tentu tinggi namun jika dengan bantuan gol membawa kemenangan kepada pasukan, itu sudah terbaik.
Kemeriahan penyokong Gergasi Merah di bahagian penyokong semalam terlihat sangat menakjubkan. Pihak Selangor FC mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyokong yang sanggup terbang bersama pasukan untuk perlawanan #KUCSEL semalam.
Selangor FC berharap pasukan teruskan momentum baik ini untuk perlawanan seterusnya menentang Sri Pahang FC di Stadium MBPJ pada 5 Mac ini. Ayuh Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!